Sunday, September 20, 2015

Pantun: Sumber Rujukan Sosiobudaya Masyarakat Melayu

Kalau pantun mengandung syarak,
Sampai kiamat ianya tegak.

Kalau pantun mengandung sunah,
Sampai kiamat takkan punah.

Kalau pantun mengandung adat,
Zaman-berzaman ia melekat.

Kalau pantun mengandung petuah,
Zaman-berzaman ia berfaedah.

Kalau pantun mengandung nasihat,
Turun-temurun memberi manfaat.

Kalau pantun mengandung amanah,
Sepanjang masa ia bertanah.
(Khazanah Pantun Melayu Riau, lvii)

Pantun merupakan sastera rakyat yang telah digunakan dengan agak luas di dalam masyarakat Melayu.  Ia juga mengandungi falsafah hidup masyarakat Melayu serta merupakan salah satu wadah yang penting dalam meluahkan dan menyampaikan hasrat serta manifestasi pemikiran mereka. Oleh itu bertepatanlah pandangan  Omardin, (1960), bahawa sekiranya “bahasa itu jiwa bangsa”, maka pantun adalah salah satu daripada urat sarafnya.

S. Othman Kelantan (2005:148), menjelaskan bahawa sastera sebegini dapat “merakamkan sejarah perkembangan pemikiran, peradaban dan tamadun sesuatu bangsa di dunia”.  Maka wajarlah pantun digunakan sebagai rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu kerana ia adalah cerminan sebenar peradaban dan tamadun Melayu yang sudah bertapak berabad-abad lamanya.

Asal Pantun

Pantun merupakan salah satu ciptaan asli masyarakat Melayu.  Dalam kajiannya, Francois-Rene Daillie (1988:20) telah menukil kamus Perancis Petit Robert yang menguatkan hujah ini melalui terjemahan berikut,


 “Pantoum (patum), masc. noun. (1829, a Malay word). A poem of Malay origin, composed of quatrains with alternate rhymes, in which the second and fourth lines are repeated as the first and third lines of the following stanza. Harmonie du Soir, by Baudelaire, is a pantoum.”

 Pantun boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembayang dan maksud pantun.  Kebiasaannya, pembayang maksud diambil dari pemerhatian sumber alam, sebagai pemula bicara sebelum penyampaian maksud pantun tersebut.  Menurut Daillie, pembayang yang digunakan menggambarkan secara langsung kehidupan masyarakat Melayu yang akrab dengan bidang-bidang pertanian dan kelautan, manakala, maksud pantun menepati penyampaian hasrat dan luahan pemikiran Melayu. Sebagai contoh,

Bukan kacang sebarang kacang,
            Kacang melilit kayu jati;
Bukan datang sebarang datang,
            Datang melihat jantung hati.


Pantun bermula sebagai sastera lisan, sama seperti sastera-sastera Melayu yang lain. Namun, menurut Omardin, (1960), ia tidak dijumpai di dalam hikayat-hikayat lama seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Seri Panji atau Hikayat Pandawa Jawa.  Pantun mula tercatit di dalam buku sastera di abad kelima belas.  Menurut Liaw Yock Fang (1975:285),

“pantun pertama kali muncul dalam Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat popular yang sezaman. Pantun juga disisipkan dalam syair-syair seperti Syair Ken Tambuhan.”

Antaranya ialah pantun yang menceritakan tentang kisah Singapura dilanggar todak seperti berikut,

Carik baju raja,
            Dilompati todak;
Bukan di sahaja,
            Sebab akal budak.

Telur itik dari Senggora,
            Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
            Badannya terlantar di Langkawi.
            (Kesusasteraan Melayu lama, hlm 84)


Terdapat pantun bagi setiap fasa kehidupan masyarakat Melayu, yakni dari pantun kanak-kanak, dewasa hingga ke tua.  Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pantun merupakan salah satu rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu kerana ia merakam berbagai aspek kehidupan dan merangkumi pelbagai peringkat usia.

Saturday, September 19, 2015

Karya Sastera sebagai Tapak Ingatan Sosial

Karya sastera sebagai tapak ingatan sosial.  Mengingati yang lalu pada masa kini sebagai peringatan pada masa depan melalui novel Mail Mau Kawin, Batas Langit dan Atas Nama Cinta.

“Maria meninggalkan Nadra di Malaya, tetapi dia tahu orang-orang yang dikasihinya di Malaya tidak akan dapat hidup bersama Nadra lagi, kerana Nadra kini hanya sebuah bayangan.  Nadra kini hanya sebuah cerita manis yang tiba-tiba diberhentikan. Siapakah yang sanggup menceritakannya kembali kepada semua?”
                                                                                    (ANC, ms 257)


Ingatan mempunyai peranan dalam kehidupan kita sama ada ingatan peribadi mahupun ingatan bersama kita sebagai  sebuah kumpulan masyarakat.  Ia memberi ruang untuk kita kembali ke masa lalu dengan mengingati kembali sesuatu yang pernah berlaku dan berlalu. Namun, ingatan bukanlah hanya sekadar ingatan.  Ia memenuhi keperluan masa kini dengan melalui proses mencapai dan membentuk bahan-bahan yang didapati pada masa lalu (Ritterhouse: 2003).  Ia juga menjadi jambatan penghubung antara masa kini dan lalu.  Ingatan sosial atau ingatan yang dikongsi bersama sesebuah kelompok masyarakat atau sesuatu bangsa itu dapat membentuk jati diri masyarakat itu melalui satu proses penakrifan yang berterusan sejarah mereka.  

Masuri S.N. (1927-2005)

Masuri Bin Salikun atau lebih dikenali sebagai Masuri S N
dilahirkan pada 11 Jun 1927 di Singapura. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau dan
Geylang dari tahun 1933 hingga 1940 dan menjadi guru
pelatih hingga 1946. Dari tahun 1946 hingga 1949, beliau
melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI), Tanjung Malim, Perak. Sesudah lulus dari MPSI,
Masuri pulang ke Singapura dan menjadi seorang pendidik,
sementara pada sebelah malamnya mengikuti kelas bahasa
Inggeris di Mercantile Institution dan C.Y.M.A. College.
Jawatan terakhir beliau ialah guru besar sekolah rendah
yang disandang dari tahun 1971 sehingga beliau bersara
pada 12 Jun 1981. Dari tahun 1984 hingga tahun 1985,
Masuri dilantik sebagai Research Fellow di Institut Pengajian
Asia Tenggara (ISEAS). Pada tahun 1986, beliau mengikuti
program penulisan antarabangsa selama tiga bulan di
University of Iowa, dan dilantik menjadi Honorary Fellow.
Dari tahun 1991 hingga 1992, Masuri menjadi penulis
tamu di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan
Singapura (NUS).

Masuri juga merupakan salah seorang pelopor Angkatan
Sasterawan ’50 (Asas ’50). Beliau berpendapat dengan
adanya badan persuratan ini, para penulis dapat mengisi
jiwa dan rohani masyarakat dengan nilai-nilai yang murni.

BiblioAsia Volume 4 Issue 2 July 2008 hlm 40-43

Friday, September 18, 2015

Sumbangsih MAS: A Muhammad Ariff Ahmad Exhibition



























































Sastera Melayu Singapura Pasca 1965






Melihat Alam melalui Mata & Hati Abdul Ghani Hamid



Alam Ini Kami Punya

 Kami cinta alam ini
pada puspa mekar di puncak tinggi
atau semut melata di bumi
dalam lukisan kami.
 Merasa indah semuanya
dalam seribu kejadian bercerita
dari wajah jelita manis
hingga si pincang hamis.
 Alam yang engkau dan kami punya
pada karya kami disua
berhimpun rasa dan suara
kami melukis kerana cinta.
 Alam ini kami punya
untuk manusia fahamkan cinta.
(1965)

Pertama kali diterbitkan di BiblioAsia Volum 8 Issue 1 hlm 45-46 

Travelog Melayu

Travelog atau kisah pengembaraan mempunyai peranan yang tersendiri dalam memperkenalkan sesuatu negeri atau tempat asing yang dilawati penulis kepada yang lain. Ia juga boleh menjadi dokumen penting dalam memberikan maklumat tentang budaya dan persekitaran masyarakat yang dikunjungi. Seperti genre-genre sastera yang lain, travelog Melayu juga mempunyai sumbangan yang tersendiri dalam membantu kita memahami falsafah kehidupan masyarakat Melayu.  Oleh itu catatan tentang kehidupan masyarakat yang dilawati, diamati atau dilalui  di dalam travelog menjadi rakaman sejarah sosial budaya masyarakat itu sebagai bahan rujukan.  

Pertama kali diterbitkan di:
Travelog Melayu: BiblioAsia Vol 10 Issue 4, Jan-Mar 2015 hlm 46-49