Kalau pantun mengandung syarak,
Sampai kiamat ianya tegak.
Kalau pantun mengandung sunah,
Sampai kiamat takkan punah.
Kalau pantun mengandung adat,
Zaman-berzaman ia melekat.
Kalau pantun mengandung petuah,
Zaman-berzaman ia berfaedah.
Kalau pantun mengandung nasihat,
Turun-temurun memberi manfaat.
Kalau pantun mengandung amanah,
Sepanjang masa ia bertanah.
(Khazanah Pantun Melayu Riau, lvii)
Pantun merupakan sastera rakyat yang
telah digunakan dengan agak luas di dalam masyarakat Melayu. Ia juga mengandungi falsafah hidup masyarakat
Melayu serta merupakan salah satu wadah yang penting dalam meluahkan dan
menyampaikan hasrat serta manifestasi pemikiran mereka. Oleh itu bertepatanlah
pandangan Omardin, (1960), bahawa
sekiranya “bahasa itu jiwa bangsa”, maka pantun adalah salah satu daripada urat
sarafnya.
S. Othman Kelantan (2005:148),
menjelaskan bahawa sastera sebegini dapat “merakamkan sejarah perkembangan
pemikiran, peradaban dan tamadun sesuatu bangsa di dunia”. Maka wajarlah pantun digunakan sebagai
rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu kerana ia adalah cerminan sebenar
peradaban dan tamadun Melayu yang sudah bertapak berabad-abad lamanya.
Asal
Pantun
Pantun
merupakan salah satu ciptaan asli masyarakat Melayu. Dalam kajiannya, Francois-Rene Daillie
(1988:20) telah menukil kamus Perancis Petit Robert yang menguatkan hujah ini
melalui terjemahan berikut,
“Pantoum (patum), masc. noun. (1829, a Malay word). A
poem of Malay origin, composed of quatrains with alternate rhymes, in which the
second and fourth lines are repeated as the first and third lines of the
following stanza. Harmonie du Soir, by Baudelaire, is a pantoum.”
Pantun
boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembayang dan maksud pantun. Kebiasaannya, pembayang maksud diambil dari
pemerhatian sumber alam, sebagai pemula bicara sebelum penyampaian maksud
pantun tersebut. Menurut Daillie,
pembayang yang digunakan menggambarkan secara langsung kehidupan masyarakat
Melayu yang akrab dengan bidang-bidang pertanian
dan kelautan, manakala, maksud pantun menepati penyampaian hasrat dan luahan
pemikiran Melayu. Sebagai contoh,
Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang
melilit kayu jati;
Bukan datang sebarang datang,
Datang melihat
jantung hati.
Pantun
bermula sebagai sastera lisan, sama seperti sastera-sastera Melayu yang lain.
Namun, menurut Omardin, (1960), ia tidak dijumpai di dalam hikayat-hikayat lama
seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Seri Panji atau Hikayat Pandawa Jawa. Pantun mula tercatit di dalam buku sastera di
abad kelima belas. Menurut Liaw Yock
Fang (1975:285),
“pantun pertama kali muncul dalam Sejarah Melayu dan
hikayat-hikayat popular yang sezaman. Pantun juga disisipkan dalam syair-syair seperti
Syair Ken Tambuhan.”
Antaranya
ialah pantun yang menceritakan tentang kisah Singapura dilanggar todak seperti
berikut,
Carik baju raja,
Dilompati todak;
Bukan di sahaja,
Sebab akal budak.
Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak
dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar
di Langkawi.
(Kesusasteraan Melayu lama, hlm 84)
Terdapat pantun bagi setiap fasa
kehidupan masyarakat Melayu, yakni dari pantun kanak-kanak, dewasa hingga ke
tua. Maka tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa pantun merupakan salah satu rujukan sosiobudaya masyarakat
Melayu kerana ia merakam berbagai aspek kehidupan dan merangkumi pelbagai
peringkat usia.
No comments:
Post a Comment