Monday, April 25, 2016

Seni Persembahan Bangsawan

Bangsawan is a form of traditional Malay opera or theatre that usually involves elements of drama, music, singing and dancing. The art form has its origins in the theatre of the immigrant Parsi community (Indians of Persian extract) in Malaya and was first performed in Penang in the 1870s. By the early 20th century, many bangsawan troupes emerged and the theatre form soon spread to other parts of Malaya. Stories used in bangsawan theatre are adapted from Indian, Arabian and Chinese folk tales, and the Sejarah Melayu (Malay Annals). This article by Juffri bin Supa’at traces the historical development of bangsawan in Singapore and showcases some of the more famous bangsawan troupes that have made an impact since the art form was introduced in Singapore in 1880. The article also examines the evolution of bangsawan theatre into its modern and contemporary forms – to appeal to a younger audience – that were later recorded and broadcast on radio and television in Singapore. Bangsawan has today become part of the fabric of Malay life and culture in Singapore, Malaysia, Indonesia and Brunei.
“Persembahan bangsawan mengikut amalan tradisi tidak berpandukan skrip. Pelakon-pelakon hanya diberitahu tentang rangka atau sinopsis cerita, dan bertolak daripada pokok cerita itu terserahlah kepada mereka untuk membina dialog dan membuat improvisasi lakon.”1 – Rahmah Bujang, 1989


Diterbitkan di BiblioAsia Vol 12 Isu 1
Seni Persembahan Bangsawan

Sunday, September 20, 2015

Pantun: Sumber Rujukan Sosiobudaya Masyarakat Melayu

Kalau pantun mengandung syarak,
Sampai kiamat ianya tegak.

Kalau pantun mengandung sunah,
Sampai kiamat takkan punah.

Kalau pantun mengandung adat,
Zaman-berzaman ia melekat.

Kalau pantun mengandung petuah,
Zaman-berzaman ia berfaedah.

Kalau pantun mengandung nasihat,
Turun-temurun memberi manfaat.

Kalau pantun mengandung amanah,
Sepanjang masa ia bertanah.
(Khazanah Pantun Melayu Riau, lvii)

Pantun merupakan sastera rakyat yang telah digunakan dengan agak luas di dalam masyarakat Melayu.  Ia juga mengandungi falsafah hidup masyarakat Melayu serta merupakan salah satu wadah yang penting dalam meluahkan dan menyampaikan hasrat serta manifestasi pemikiran mereka. Oleh itu bertepatanlah pandangan  Omardin, (1960), bahawa sekiranya “bahasa itu jiwa bangsa”, maka pantun adalah salah satu daripada urat sarafnya.

S. Othman Kelantan (2005:148), menjelaskan bahawa sastera sebegini dapat “merakamkan sejarah perkembangan pemikiran, peradaban dan tamadun sesuatu bangsa di dunia”.  Maka wajarlah pantun digunakan sebagai rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu kerana ia adalah cerminan sebenar peradaban dan tamadun Melayu yang sudah bertapak berabad-abad lamanya.

Asal Pantun

Pantun merupakan salah satu ciptaan asli masyarakat Melayu.  Dalam kajiannya, Francois-Rene Daillie (1988:20) telah menukil kamus Perancis Petit Robert yang menguatkan hujah ini melalui terjemahan berikut,


 “Pantoum (patum), masc. noun. (1829, a Malay word). A poem of Malay origin, composed of quatrains with alternate rhymes, in which the second and fourth lines are repeated as the first and third lines of the following stanza. Harmonie du Soir, by Baudelaire, is a pantoum.”

 Pantun boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembayang dan maksud pantun.  Kebiasaannya, pembayang maksud diambil dari pemerhatian sumber alam, sebagai pemula bicara sebelum penyampaian maksud pantun tersebut.  Menurut Daillie, pembayang yang digunakan menggambarkan secara langsung kehidupan masyarakat Melayu yang akrab dengan bidang-bidang pertanian dan kelautan, manakala, maksud pantun menepati penyampaian hasrat dan luahan pemikiran Melayu. Sebagai contoh,

Bukan kacang sebarang kacang,
            Kacang melilit kayu jati;
Bukan datang sebarang datang,
            Datang melihat jantung hati.


Pantun bermula sebagai sastera lisan, sama seperti sastera-sastera Melayu yang lain. Namun, menurut Omardin, (1960), ia tidak dijumpai di dalam hikayat-hikayat lama seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Seri Panji atau Hikayat Pandawa Jawa.  Pantun mula tercatit di dalam buku sastera di abad kelima belas.  Menurut Liaw Yock Fang (1975:285),

“pantun pertama kali muncul dalam Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat popular yang sezaman. Pantun juga disisipkan dalam syair-syair seperti Syair Ken Tambuhan.”

Antaranya ialah pantun yang menceritakan tentang kisah Singapura dilanggar todak seperti berikut,

Carik baju raja,
            Dilompati todak;
Bukan di sahaja,
            Sebab akal budak.

Telur itik dari Senggora,
            Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
            Badannya terlantar di Langkawi.
            (Kesusasteraan Melayu lama, hlm 84)


Terdapat pantun bagi setiap fasa kehidupan masyarakat Melayu, yakni dari pantun kanak-kanak, dewasa hingga ke tua.  Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pantun merupakan salah satu rujukan sosiobudaya masyarakat Melayu kerana ia merakam berbagai aspek kehidupan dan merangkumi pelbagai peringkat usia.

Saturday, September 19, 2015

Karya Sastera sebagai Tapak Ingatan Sosial

Karya sastera sebagai tapak ingatan sosial.  Mengingati yang lalu pada masa kini sebagai peringatan pada masa depan melalui novel Mail Mau Kawin, Batas Langit dan Atas Nama Cinta.

“Maria meninggalkan Nadra di Malaya, tetapi dia tahu orang-orang yang dikasihinya di Malaya tidak akan dapat hidup bersama Nadra lagi, kerana Nadra kini hanya sebuah bayangan.  Nadra kini hanya sebuah cerita manis yang tiba-tiba diberhentikan. Siapakah yang sanggup menceritakannya kembali kepada semua?”
                                                                                    (ANC, ms 257)


Ingatan mempunyai peranan dalam kehidupan kita sama ada ingatan peribadi mahupun ingatan bersama kita sebagai  sebuah kumpulan masyarakat.  Ia memberi ruang untuk kita kembali ke masa lalu dengan mengingati kembali sesuatu yang pernah berlaku dan berlalu. Namun, ingatan bukanlah hanya sekadar ingatan.  Ia memenuhi keperluan masa kini dengan melalui proses mencapai dan membentuk bahan-bahan yang didapati pada masa lalu (Ritterhouse: 2003).  Ia juga menjadi jambatan penghubung antara masa kini dan lalu.  Ingatan sosial atau ingatan yang dikongsi bersama sesebuah kelompok masyarakat atau sesuatu bangsa itu dapat membentuk jati diri masyarakat itu melalui satu proses penakrifan yang berterusan sejarah mereka.  

Masuri S.N. (1927-2005)

Masuri Bin Salikun atau lebih dikenali sebagai Masuri S N
dilahirkan pada 11 Jun 1927 di Singapura. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau dan
Geylang dari tahun 1933 hingga 1940 dan menjadi guru
pelatih hingga 1946. Dari tahun 1946 hingga 1949, beliau
melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI), Tanjung Malim, Perak. Sesudah lulus dari MPSI,
Masuri pulang ke Singapura dan menjadi seorang pendidik,
sementara pada sebelah malamnya mengikuti kelas bahasa
Inggeris di Mercantile Institution dan C.Y.M.A. College.
Jawatan terakhir beliau ialah guru besar sekolah rendah
yang disandang dari tahun 1971 sehingga beliau bersara
pada 12 Jun 1981. Dari tahun 1984 hingga tahun 1985,
Masuri dilantik sebagai Research Fellow di Institut Pengajian
Asia Tenggara (ISEAS). Pada tahun 1986, beliau mengikuti
program penulisan antarabangsa selama tiga bulan di
University of Iowa, dan dilantik menjadi Honorary Fellow.
Dari tahun 1991 hingga 1992, Masuri menjadi penulis
tamu di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan
Singapura (NUS).

Masuri juga merupakan salah seorang pelopor Angkatan
Sasterawan ’50 (Asas ’50). Beliau berpendapat dengan
adanya badan persuratan ini, para penulis dapat mengisi
jiwa dan rohani masyarakat dengan nilai-nilai yang murni.

BiblioAsia Volume 4 Issue 2 July 2008 hlm 40-43

Friday, September 18, 2015

Sumbangsih MAS: A Muhammad Ariff Ahmad Exhibition



























































Sastera Melayu Singapura Pasca 1965






Melihat Alam melalui Mata & Hati Abdul Ghani Hamid



Alam Ini Kami Punya

 Kami cinta alam ini
pada puspa mekar di puncak tinggi
atau semut melata di bumi
dalam lukisan kami.
 Merasa indah semuanya
dalam seribu kejadian bercerita
dari wajah jelita manis
hingga si pincang hamis.
 Alam yang engkau dan kami punya
pada karya kami disua
berhimpun rasa dan suara
kami melukis kerana cinta.
 Alam ini kami punya
untuk manusia fahamkan cinta.
(1965)

Pertama kali diterbitkan di BiblioAsia Volum 8 Issue 1 hlm 45-46 

Travelog Melayu

Travelog atau kisah pengembaraan mempunyai peranan yang tersendiri dalam memperkenalkan sesuatu negeri atau tempat asing yang dilawati penulis kepada yang lain. Ia juga boleh menjadi dokumen penting dalam memberikan maklumat tentang budaya dan persekitaran masyarakat yang dikunjungi. Seperti genre-genre sastera yang lain, travelog Melayu juga mempunyai sumbangan yang tersendiri dalam membantu kita memahami falsafah kehidupan masyarakat Melayu.  Oleh itu catatan tentang kehidupan masyarakat yang dilawati, diamati atau dilalui  di dalam travelog menjadi rakaman sejarah sosial budaya masyarakat itu sebagai bahan rujukan.  

Pertama kali diterbitkan di:
Travelog Melayu: BiblioAsia Vol 10 Issue 4, Jan-Mar 2015 hlm 46-49

Friday, October 24, 2008

Evolusi Aksara Melayu

Juffri Bin Supa’at


“Bahasa Melayu dikagumi bukan saja kerana berfungsi di merata bandar Nusantara tetapi kerana bahasa Melayu ditulis.”James T Collins

Bahasa Melayu pernah pada suatu masa dulu menjadi bahasa perantaraan ataupun lingu-franca di daerah Asia Tenggara. Ia juga telah melalui pelbagai perubahan semenjak ia digunakan sebagai alat perhubungan. Begitu juga dengan sistem tulisan bahasa Melayu yang juga disebut sebagai aksara Melayu. Sejak zaman-berzaman, pelbagai jenis aksara telah digunakan oleh orang Melayu.

Menurut Collins (1997: 52)



“Suku-suku Asia Tenggara yang memiliki sistem tulisan dihormati oleh petualang barat yang mula-mula mengunjungi bandar-bandar utama Nusantara pada abad yang keenam belas. Dan sesungguhnya di setengah-setengah wilayah Asia Tenggara terdapat kadar keberaksaraan yang amat tinggi, bahkan mungkin lebih tinggi daripada kadar yang terdapat di kalangan masyarakat Eropah pada zaman itu (Reid 1988). Bahasa Melayu dikagumi bukan saja kerana berfungsi di merata bandar Nusantara tetapi kerana bahasa Melayu ditulis.”

Perkembangan aksara-aksara yang pernah digunakan adalah akibat daripada pengaruh dan perhubungan mereka dengan pelbagai tamadun besar pada masa lalu. Dari satu sudut, ia juga jelas mencerminkan tentang keupayaan dan kesudian orang Melayu menghadapi perubahan serta mengubahsuaikan unsur-unsur asing untuk keperluan dan kemajuan mereka. Ini jelas terlihat tatkala kita menyelusuri dan meneliti evolusi aksara Melayu.

Pengaruh Hindu-Buddha -
Aksara Pallava dan Kawi


Antara bukti terawal yang menunjukkan sejarah tulisan di Kepulauan Melayu ialah inskripsi batu Raja Mulavarman yang dianggarkan bertarikh 400 masihi. Menurut Prof Hashim Musa (1997b: 28), “antara tulisan Pallava terawal yang melambangkan bahasa Melayu dijumpai pada abad ketujuh Masihi ialah inskripsi Srivijaya di Kedukan Bukit 683 Masihi, Talang Tuwo 684 Masihi dan Kota Kapur, Pulau Bangka 686 Masihi." Skrip Pallava mempunyai banyak persamaan dengan skrip yang digunakan sewaktu pemerintahan kerajaan Pallava di India.

Inskripsi Punavarman dari Taruma juga telah dijumpai di Jawa. Inskripsi dalam skrip Pallava Awal ini telah menggunakan bahasa Sanskrit. Selain itu, beberapa inskripsi lain yang ini juga telah ditemui di Kedah, Malaysia.

Berkenaan dengan aksara Kawi, ada pendapat yang menolak teori bahawa ia timbul daripada perkembangan aksara Pallava yang terdapat di Jawa dan Sumatera. Di dalam bukunya, Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu (1997b: 28), Hashim Musa telah menukil Jensen, yang berpandangan bahawa aksara Kawi bersumberkan sejenis skrip Pali yang dinamakan Pali Kyoktsa atau “Pali square script” yang berasal daripada Brahmi Purba. Terdapat beberapa inskripsi yang ditemui seperti menunjukkan dengan jelas bahawa bahasa Melayu Tua telah menggunakan jenis skrip Kawi pada abad kesebelas dan kedua belas Masihi sesudah skrip Pallava.

Namun, sebuah inskripsi pada batu nisan di Minyak Tujuh aceh, bertarikh 1380 Masihi menunjukkan tentang pengaruh bentuk skrip Arab yang mula meresap ke dalam sistem tulisan di Kepulauan Melayu.


Pengaruh Islam -
Aksara Jawi


Proses pengislaman telah memberikan kesan yang besar dalam perkembangan bahasa Melayu, iaitu penggunaan dan penyesuaian skrip Arab sehingga menjadi skrip Jawi untuk mengeja bahasa Melayu. Menurut Hashim Musa (1997a: 5), melalui skrip inilah



kitab-kitab agama Islam dan jenis-jenis persuratan yang lain lagi misalnya surat perjanjian, perutusan, undang-undang, sastera, perubatan, perkapalan, jual-beli, dan lain-lain telah ditulis ke dalam bahasa Melayu sama ada hasil asli ataupun terjemahan dan tulisan-tulisan itu telah tersebar luas di Asia Tenggara termasuk seluruh kepulauan Melayu. "


Sebahagian inskripsi terawal yang menunjukkan penggunaan tulisan Jawi telah di temui di Champa, Pahang, Brunei dan Jawa. Inskripsi-inskripsi ini bertarikh seawal abad kesebelas. Namun, secara umum para pengkaji berpendapat, Batu Bersurat Terengganu, yang bertarikh abad empat belas telah diterima sebagai inskripsi terawal yang menggunakan tulisan Jawi. Walaupun ia memaparkan perintah untuk mematuhi agama Islam, tetapi undang-undangnya yang tertulis masih lagi mencerminkan unsur-unsur falsafah sebelum kedatangan Islam.

Antara contoh unsur-unsur sebegini yang dapat dilihat sebagai ciri pada Batu Bersurat ialah penggunaan perkataan-perkataan Sanskrit yang banyak, dan ejaan Jawi telah diolah untuk “membunyikan perkataan Sanskrit itu sehampir yang mungkin yang menyebabkan penggunaan huruf-huruf alif (ا ), wau (و ), dan ya (ي ) sebagai huruf vokal pada akhir suku kata yang amat kerap yang unik bagi Batu Bersurat Terengganu ini” (Hashim, 1997a: 15).

Batu Bersurat Terengganu membuktikan dengan jelas bahawa sistem ejaan Jawi telah mencapai kesempurnaannya dari segi perkembangannya. Lima huruf baru yang dipadankan daripada huruf Arab untuk melambangkan bunyi-bunyi Melayu iaitu, cha (چ), nga (ڠ), pa (ڤ ), ga (ڬ ) dan nya (ڽ ) sudah tercipta dan digunakan sepenuhnya. Pada tahun 1996, satu lagi huruf telah ditambah untuk melambangkan bunyi v (ۏ ), sebagai usaha untuk menyesuaikan penggunaan jawi dengan bahasa Melayu kini.

Pengaruh Eropah -
Aksara Rumi


Kedatangan orang-orang Eropah telah sekaligus juga membawa tulisan Rumi ke rantau ini. Tetapi usaha untuk meluaskan penggunaanya hanya dilakukan oleh pihak British pada awal abad kedua puluh. Banyak buku-buku sastera lama yang telah ditransliterasikan kepada tulisan Rumi oleh R J Wilkinson, yang menjawat tugas sebagai Inspektor Sekolah-Sekolah Federal, pada waktu itu. Selain itu, terdapat juga perkembangan yang meningkat terhadap penggunaan mesin-mesin cetak yang dibawa dari Eropah. Ini membawa mengembangkan industri percetakan di rantau ini.

Penutup

Setiap aksara yang pernah digunakan orang Melayu sama ada Pallava, Kawi, dan kini Jawi atau Rumi menjadi saksi dan bukti tentang kemampuan masyarakat ini. Kesemua aksara-aksara ini telah digunakan untuk berbagai jenis keperluan perhubungan dan pengurusan. Selain itu, ia juga telah melahirkan karya-karya yang sehingga kini masih sesuai dan menjadi warisan yang tidak ternilai kepada masyarakat. Sesuailah seperti menurut Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh (2006), pada tahun 1726, Francois Velentijn telah menyuarakan kekagumannya terhadap masyarakat Melayu yang bukan sahaja mempunyai tulisan (aksara) malah menggunakan aksara itu untuk menghasilkan karya-karya dan duduk pula berkumpul beramai-ramai mengelilingi seorang pembaca memperdengarkan suaranya.

Rujukan

Collins, James T., (1997). Ciri-ciri Bahasa Melayu Abad Ke-17. Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
No. Pengkelasan: R 499.2811

Hashim Hj Musa, (1999). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
No. Pengkelasan: R 499.2811 HAS

Hashim Musa, (1997a). Sejarah Awal Kemunculan dan Pemapanan Tulisan Jawi di Asia Tenggara. Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
No. Pengkelasan: R 499.2811

Hashim Musa, (1997b). Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
No. Pengkelasan: RSING 499.2811 HAS


Siti Hawa Salleh (2006). Genre Kesusasteraan Hikayat: Perkembangan Suatu Bentuk Kesusasteraan. Dibentangkan di Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu, Melestarikan Manuskrip Melayu Warisan Agung Bangsa, 10-11 Julai 2006, Kuala Lumpur. Anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia.


Pertama kali diterbitkan di BiblioAsia Oktober 2006
http://www.microsite.nl.sg/PDFs/BiblioAsia/BIBA_0203aOct06.pdf

Pameran Aksara: Menjejaki Tulisan Melayu
http://exhibitions.nlb.gov.sg/aksara/

Panduan Sumber
http://mms.elibraryhub.com/SHC/Reference%20Malay%20Collection/aksara%20resource%20guide.pdf

Bibliografi Aksara
http://mms.elibraryhub.com/SHC/Reference%20Malay%20Collection/aksara%20bibliography.pdf